Friday, May 18, 2012

Pengalaman 18 hari di hospital - Part 2

30 April 2012

Sampai di HSA aku pergi tempat saringan untuk wad O&G. Aku kena duduk wad tu tapi aku masih lagi di bawah pantauan bahagian Nephorology (buah pinggang). Nurse kat situ cakap mungkin masuk wad malam sebab orang ramai sangat. Nak kena interview lagi dengan doktor, baru leh masuk wad. Sementara tunggu tu, mak and bapak sempat sampai. Dapat la jumpa Insyirah. Berapa hari dah tak jumpa dia rindu sangat. Masa duk HSI aritu dapat jumpa sekali je dia itupun 10 minit aje. 

Mak tanya keputusan aku pasal dialisis tu. Aku kata tak tau. Mak menangis pujuk aku jangan teruskan kandungan ni..takut aku kena dialisis. 

"Apa yang penting kesihatan Along. Mak nak anak mak sihat. Mak tau susah buat keputusan ni. Mak tau Along sayang baby tu. Mak sendiri lama dah teringin nak tengok dia lahir kat dunia ni. Tapi kalau dah macam ni, rasanya kesihatan Along lagi penting. Ingat kat Insyirah...dia kecik lagi. Kesian dia..kalau Along sakit2 macammana nak jaga dia?"

Aku tak tahan sebak bila mak cakap macam tu...Aku tau betul apa yang mak cakap. Tapi aku tak sampai hati. 

"Kalau terminate, baby meninggal dunia ke?" tanya aku..
"Entahla, mak pun tak tau. Bapak kata, kalau baby kuat InsyaAllah...dia hidup. Kita doa aje. Bapak ko kata dia percaya baby ko kuat...bapak cakap terminate aje. Kalau takde rezeki, lain kali boleh pregnant lagi. Kita usaha baikkan buah pinggang ko ni dulu"

Aku menangis lagi...Ya Allah beratnya rasa hati ni. Tak berdosa ke kalau aku buat camtu?

Aku tanya encik suami..dia nampak sedih dan berat hati tapi akhirnya dia macam setuju. Mungkin dia pun rasa ada benarnya apa yang mak cakapkan.

Masa interview dengan doktor aku jawab semua soalan doktor tu...Mostly soalannya sama je masa kat HSI dulu. Oleh kerana kes aku agak berat, doktor tu terpaksa panggil doktor pakar. Bila dia tengok kes aku, dia call bahagian Nephrology and bercakap dengan Dr Liu. Dr Liu confirmkan yang dia memang tunggu aku masuk HSA and nak jumpa dengan aku. Lepas encik suami daftarkan aku untuk masuk wad, mak and bapak balik ke rumah. Masa tu aku terfikir, bila pulak boleh jumpa Insyirah lagi...semoga Allah tabahkan hati aku.

1 Mei 2012

Pukul 7 pagi lagi, Dr Liu dan Doktor M.O nya bernama Dr. Ngo datang jumpa aku. Dia kata kreatinine aku tak berapa cantik. Nama penyakit aku adalah Chronic Kidney Disease 2nd degree to Glomerulonephritis. Penapis buah pinggang aku dah sedikit poros menyebabkan protein dan kreatinine leh masuk ke dalam darah. Salah satu tandanya adalah kencing akan berbuih2. Memang betul kencing aku berbuih2 and Dr Ngo kata itulah protein. Dr Liu kata baik terminate aje pregnancy ni atau buah pinggang aku makin rosak. Aku tanya tahap kreatinine sebegini (masa tu kreatinine dalam darah aku 297) kena wat dialisis ke? Dia kata belum lagi..Aku lega. Tapi kenapa doktor kat HSI kata kalau aku teruskan pregnancy aku kena dialisis hari2 sampai deliver? Hmmm musykil dah ni..

Pukul 8 pagi, doktor atau House Officer round and wat laporan serta ambil darah untuk tau tahap kreatinine. Lepas dia wat laporan dengan bertanya masalah2 pesakit, Doktor pakar pula akan datang dan round tanya sorang2 pesakit di wad tu. Hari tu giliran Dr Nachiyapan, pakar O&G. Dia tanya apa yang aku nak. Aku kata aku nak teruskan pregnancy tapi taknak dialisis. Dia kata mungkin boleh tunggu sampai 28 minggu atau 27 minggu then keluarkan baby.  Tapi kena buat 'stenting'. Aku tak tau stenting tu apa. Sejenis dialisis jugak ke? Dia kata lebih kurang la..Sekarang ni baru 26 minggu, baby tak berapa kuat lagi. Stenting mungkin boleh tolong buah pinggang aku operate normally. Sekarang ni bila ada baby, buah pinggang aku kena kerja keras tu sebab dia akan makin memburukkan keadaan buah pinggang aku. Aku kata biarlah aku fikirkan dulu. lagipun aku tiada knowledge langsung pasal stenting tu.  Dr Nachiyapan ni nampak seorang yang senang dibawa berbincang. Dia keluarkan arahan supaya aku diberi injection untuk kuatkan paru2 baby.

Nurse beri injection kuatkan paru2 baby di punggung. Sakit teramat sangat. Aku bukan jenis takutkan jarum, dah banyak kali kena injection sepanjang hidup aku tapi injection ni adalah yang paling sakit. Mujur aku teringat kertas2 selawat dan doa yang mak beri suruh baca, Jika berasa sakit maka boleh baca selawat ni

lailahailla anta subhanaka inni kuntum minaz dzolimin

Berulang2 kali aku baca kesakitan tu terus berkurangan..Alhamdulillah.

2 Mei 2012

Dr Liu tak datang.. Bila doktor pakar O&G datang, dia kata pakar Urology (Air Kencing) akan datang dan jumpa aku di ICU labour room sebab nak scan buah pinggang.

Aku di bawa ke  ICU labour room oleh Dr Asmaa, House Officer yang bertugas hari tu. Orangnya baik dan cepat buat kerja. Ambil darah cekap, tak terasa sakit.

Di ICU labour room, aku di scan oleh doktor O&G. Bukan scan buah pinggang tapi scan baby. Baby nampaknya ok dan berat dia dalam lingkungan 800g-1kg. Selesai scan aku kena tunggu pula pakar eurology. Sedang aku tunggu kedatangan pakar Urology tu, tiba2 aku dengar satu suara. Agak tegas suara tu.

"mana patient saya?"

Rupa2nya pakar urology tu..orang Melayu. Tak ingat nama dia siapa. Sampai2 je ini yang dia cakapkan,

"kami dari pihak urology, taknak buat apa2 pada puan"
Aku confused...tak berapa faham. Mungkin dia tengok aku berkerut dahi and blur dia sambung lagi.

"Pasal stenting tu, kami taknak buat. Kalau kami pasang stent tu pada saluran buah pinggang puan hari ni, esok puan mesti deliver.. itu komplikasinya."

Aku nampak Dr. Asmaa angguk2kan kepalanya. Dia pun bersetuju jugakkah? Abis tu kenapa pakar O&G beria suruh pasang stenting tu? Aku diam sahaja..aku tak pernah cakap pun nak pasang stenting tu. rupa2nya pakar O&G dah aturkan supaya pakar urology pasang stent tu pada buah pinggang aku. 

"Siapa pakar yang on duty hari ni?" tanya pakar eurology tu pada Dr. Asmaa.
Lepas diberitahu, pakar urology tu suruh Dr Asmaa panggilkan dia sebab dia nak berbincang pasal masalah aku ni. Dokor pakar itu (taknak sebut nama walaupun memang ingat sangat nama dia) sedang makan2 kat pantry. Dia taknak diganggu. Pakar urology tu nampak marah sangat...dia membebel2. Last2 dia kol doktor tu and aku dengar perbualan dia

"I taknak pasang stenting tu...kalau I pasang she will deliver. This is her 2nd pregnancy.. anak baru sorang. Kita mana tau mungkin lepas ni dia tak pregnant lagi dah."

Bila dengar dia cakap camtu aku jadi lagi confused. Kalau pasang stenting, mungkin aku akan deliver sebab komplikasi. Baik tak payah stenting and terminate terus pregnancy ni. Kenapa la time2 camni aku sorang2..kalau ada family aku kat sini mungkin diorang leh tolong bagi pendapat.

lepas dia cakap ngan doktor pakar O&G tu, doktor urology tu datang semula jumpa aku. 

"kami memang taknak buat apa2. Tapi kalau pakar O&G datang jumpa kami and suruh buat jugak, mungkin kami akan buat. Ini semua atas persetujuan puan jugak. kami kena ambil tandantangan suami puan dulu jika nak pasang stenting ni. Tapi saya tak galakkan puan pasang stenting ni".

Doktor erology tu tulis dalam file aku 'NO INTERVENTION FROM UROLOGY' then dia pun pergi balik ke klinik dia semula.

Elok je doktor urology tu blah, Doktor pakar yang aku taknak sebut nama tu pun datang. Dia scan perut aku lagi and tengok baby. Semuanya ok dia kata kecuali buah pinggang aku. Dia suruh encik suami masuk ke dalam ICU tu sebab dia nak bincang sesuatu.Aku kol encik suami..mujur dia memang ada kat hospital. Sejak semalam dia tidur dalam kereta depan hospital sebab nak tunggu aku. 

Bila encik suami dah ada baru dia mula bincang..pasal stenting tu. Dia kata stenting tu boleh bantu aku simpan baby sampai minggu ke 28 dan lepas tu baru leh deliver. Kalau tak pasang stenting, kena terminate pregnancy sekarang and chances baby nak survive hanyalah 20% sahaja. Dia kata sepanjang bekerja di hospital ni dia tak pernah jumpa baby yang lahir masa 26 minggu akan hidup lama. Masa lahir memang hidup tapi lepas seminggu baby meninggal dunia sebab banyak sangat komplikasinya. Doktor tu macam guna psychology nak suruh aku pasang stenting. Dia momok2kan aku dengan risiko kalau terminate pregnancy sekarang. Dia memang tiada keyakinan langsung bahawasanya baby aku akan survive kalau aku terminate pregnancy sekarang. Bila dia cakap camtu, aku tau la yang jika terminate pregnancy maknanya tak semestinya baby akan meninggal dunia. Masih ada peluang..baby akan duduk dalam inkubator. Aku jadi makin hairan kenapa dia beria suruh pasang stenting kalau pakar urology kata taknak buat? Aku beritahu apa yang doktor urology cakap. Dia kata tak semestinya bila pasang je stenting terus deliver. Peluang berjaya pasang stenting tanpa komplikasi akan deliver adalah 50%. Dia suruh aku cuba dulu, mana tau berjaya ke..

Aku dan suami diam sahaja. Bila dia tengok tiada respon dari kami berdua, doktor tu suruh kami fikirkan dulu. Aku anggukan kepala..Lepas tu aku balik semula ke wad. 

Aku tanya Dr Asmaa..stenting tu dialisis ke? Dia kata stenting tu macam dialisis tapi dia lain. Dia kata sepanjang dia belajar and jadi doktor dia tak pernah tengok orang pregnant pasang stenting tu sebab memang bila pasang, stenting tu akan trigger rasa nak bersalin (contraction akan berlaku) sebab terlalu dekat dengan rahim. Stenting tu akan dimasukkan melalui saluran kencing ke pundi kencing dan seterusnya ke saluran buah pinggang. Bila bendasing masuk ke pundi kencing, contraction mungkin akan berlaku. tu sebab doktor urology cakap camtu. Aku angguk2kan kepala..tapi masih lagi tak puas hati. Apa sebenarnya stenting tu?

Oh lupa nak cerita, di HSA ni pun aku kena sukat air kencing jugak. Aku akan catat sendiri berapa yang aku minum dan berapa yang keluar. Abis shift aku bagi kat nurse and nurse akan rekodkan dalam file aku. Tempat tadah kencing tu hensem sikit la dari HSI. Memang ada jug khas yang diperbuat daripada besi and ada senggat2 kat dalam jug tu. Senang sikit nak kencing dalam tu sebab besar hehehehe.

Aku beritahu mak pasal pertemuan dengan pakar urology dan O&G tu. Mak pujuk aku supaya terminate  pregnancy sekarang. Mungkin itu jalan paling terbaik. Apa pun yang berlaku mak taknak aku kena dialisis. Dialisis itu untuk pesakit stage terakhir , tapi aku masih ada harapan lagi. Buah pinggang aku masih boleh dirawat tapi aku kena terminate pregnancy tu. Aku dah mula rasa macam nak terminate pregnancy. Tambah pulak aku ada dengar dari pesakit2 di sini tentang pengalaman jiran or rakan mereka yang ada penyakit buah pinggang ni semasa mengandung. Mereka terminate pregnancy dan anak mereka lahir pramatang tapi boleh survive sehingga hari ni. Ada yang pesakit buah pinggang memiliki 4 orang anak walaupun dah disahkan penyakitnya.

Ibu mertua aku pun pernah cerita yang dia pernah kenal orang yang sakit buah pinggang dan hamil. Yang penting buah pinggang tu harus kuat untuk menempuh tempoh kehamilan tu sendiri. Aku cari no telefon rakan aku semasa di sekolah menengah dulu. Aku pernah dengar yang dia pernah alami apa yang aku rasa. Walaupun kes dia dan aku berbeza tapi ada sedikit persamaan iaitu kami sama2 ada penyakit buah pinggang. Malangnya rakan aku tu penyakitnya dah serius dan kedua2 pakar memang menasihatkan untuk terminate pregnancy beliau. Tapi aku lain pula ceritanya. pakar O&G suruh pasang stenting, pakar buah pinggang suruh terminate pregnancy. Rakan aku suruh aku berfikir mana yang lebih baik bagi aku. Waktu itu, difikiran aku dah cenderung ke arah untuk terminate pregnancy ini. Aku yakin baby aku kuat, sama macam apa yang bapak aku kata. Encik suami pun setuju, kalau itu jalan terbaik. Lagipun dia nak aku sihat semula, bukan bertambah sakit. Jika tiada rezeki InsyaAllah lain kali boleh cuba lagi.

3 Mei 2012

Rutin seperti biasa..pagi Doktor / house officer round and ambil darah. Hari ni Dr Liu tak datang pun tapi Dr Hui pulak yang datang bersama Dr Ngo. Dr Hui ni  pakar buah pinggang juga dan dia seorang perempuan yang sangat tegas tapi kelam kabut sikit. Orangnya juga garang. Menepuk2 meja nak tengok carta kreatinine aku. Memarahi nurse kerana lambat cari carta atau bagi dia pen. Malah bila Dr Ngo nak bercakap dia boleh kata begini "shut up!!". Terkejut aku tengok dia..Dia datang sekejap sahaja tengok carta kreatinine aku then berlalu pergi macam tu sahaja. Aku tanya nurse kenapa dia begitu? Nurse kata Dr Hui memang terkenal dengan sikapnya yang begitu. Takde sapa kisah dah kena marah ngan dia sebab dia memang garang. Kemudian  lebih kurang pukul 10 pagi, doktor pakar O&G pula datang round.

Kali ni giliran doktor perempuan pula. Aku tak tau nama dia tapi masa dia datang ramai doktor M.O bersama beliau. Nurse2 pelatih pun ramai, begitu juga doktor2 pelatih dari Monash University. Semua berkerumun di katil aku. Aku agak Doktor perempuan ni mesti seorang pakar yang ada jawatan di sini. Bila baca file aku dahi dia berkerut. 

"Kenapa taknak stenting? Dialisis pun taknak?"
 Aku geleng kepala...aku cakap pakar urology tak galakkan stenting so aku taknak. Dia kata stenting mungkin berjaya..tak semestinya bila pasang stenting baby terus lahir. Aku geleng kepala.

"Abis tu awak nak macammana? Dialisis pun awak taknak.."
"Saya nak terminate pregnancy saya.."
"Aritu kata taknak. Kenapa arini nak terminate pulak? baik dari dulu je terminate. Awak pasang je stenting tu. Sekurang2nya ia dapat membantu buah pinggang awak. Memang buah pinggang awak takkan jadi makin baik tapi sekurang2nya salur buah pinggang awak dapat mengalirkan air kencing dengan baik"

Doktor2 yang lain angguk2kan kepala. Aku diam sahaja..aku masih tak setuju untuk stenting tu sebab aku sendiri tak pasti stenting tu apa. Bila dia tengok aku diam je, doktor tu suruh house officer pantau darah aku.

Petang tu doktor M.O yang wat round. Dia ada masa doktor perempuan datang round pagi tadi. Masa dia datang kat katil aku dia tanya kenapa taknak stenting. Aku beritahu yang aku tiada knowledge pasal stenting. Aku nak tau lebih lanjut pasal stenting tu. Dia kemudian ambil sehelai kertas dan mula melukis lebih kurang camni la..
Ha faham tak? Sorry la tak berapa hensem lukisan. Guna paint je..doktor tu lukis lagi tak hensem. Dia kata salur buah pinggang ke pundi kencing aku macam menyempit sikit jadi air tak dapat lalu dengan baik. tu sebab buah pinggang aku sedikit bengkak. Tapi kan, air kencing aku banyak je keluar...takde masalah pun time kencing. Dia cakap lagi bila letak stenting, dia dapat tolong membuka salur tu and sentiasa berada dalam keadaan terbuka luas. Dia suruh aku google lagi jika nak tau pasal stenting ni. Cadangan yang baik bila aku berada di spital dengan hp nokia yang cokia yang takde WAP pun. jangan kata WAP, warna pun takde. 

Aku call mak and minta dia wat research pasal stenting. Mujur mak aku celik IT dan ada streamyx kat rumah. Mak cuba cari maklumat pasal stenting tu dan kemudian dia terangkan pada aku. Biasa orang pasang stenting tu sebab ada batu karang. Mak kata mungkin stenting dapat membantu...agak sakit kot masa nak pasang sebab kena bius tapi dia bukanlah dialisis. 

Hmmm pulak...nak kena wat stenting la ni? Mak pun macam suruh buat je sebab stenting tu bukan dialisis. Tapi mak kata bila dia search memang takde jumpa orang pregnant yang buat. Semuanya sebab batu karang and orang tu tak pregnant pun. Mak suruh aku cuba, mungkin berjaya. Mana tau..tapi aku dalam dilema. Aku try wat solat istikharah tapi tak dapat apa2. Mungkin sebab cara aku salah..lagipun tidur aku tak pernah nyenyak kat sini. Kejap2 bangun...nurse pulak kejap2 tolak troli "krek krek krek." bunyi dia..kuat lak tu. Pastu kejut nak check tekanan darah dan juga jantung baby. mana nak tidur lenanya...Aku buat solat hajat je. Harap Allah dapat tunjukkan aku keputusan yang betul. Selain tu aku amalkan selawat Munjiah (penyelamat), tafrijiyah, nur, selawat dikabulkan hajat, selawat syifa (pengubatan), doa memohon kesihatan badan dan doa memohon perlindungan dari kerunsingan.

Aku nak kekal positif dalam mengharungi masalah ni..Taknak bersedih sahaja terutama di hadapan suami sebab aku tau dia risau...walaupun dia tak banyak bercakap tapi aku tahu. Aku taknak dia bertambah stress tengok aku sedih. Semoga hari esok lebih baik dari hari ini..mak sayangkan adik. Semoga Allah lindungi kami berdua..Semoga Allah tiupkan semangat di hati kami berdua. 

Bersambung lagi di part 3..jenuh sungguh menaip. 4hb Mei, adik dilahirkan ke dunia Allah ini. nantikan cerita selanjutnya..


4 comments:

nanad™ said...

hye... jalan2 singgah blog u.. i bace rase sedih sangat bile rase anak yg dikandung cume 50-50 life percentage.. mengalir air mate ni.. u are a tough woman.. begitu sabar menghadapi cabaran.. alhamdulillah semuanya selamatkan? n just nak inform.. i pon baru lepas bersalin.. now dalam pantang.. n i deliver my second baby ni pon on 4th may.. hehehe...

PUAN THALHA : said...

kak, memang susah sangat untuk membuat keputusan tu kan. apatah lagi kalau macam kita ni orang biasa, bukannya doktor yang faham komplikasi2 perubatan ni..huhu. nebes baca kisah akak. apapun, ada jugak bab yang kelakar nya. dalam sedih, tergelak juga saya baca. keep on posting kak. saya tunggu part seterusnya ya :)

yuyun said...

nanad - congrats...sama la tarikh lahir anak kite ye..alhamdulillah semua selamat cuma baby kat spital lagi.

puan thalia - tula memang susah pun nak buat keputusan tu. terima kasih sebab sudi baca.

UmmuAyyash said...

Kalau saya ditempat puan pun dilema sungguh. Taktau nak buat pilihan yang mana.. berdebar baca entri ni, nak baca sambungan dia pulak =)